Kesukaran berkomunikasi biasa terjadi selepas serangan angin ahmar. Lembaran fakta ini menerangkan bagaimana angin ahmar menjejas komunikasi anda dan bagaimana terapi pertuturan dapat membantu dalam pemulihan anda.
Bagaimanakah angin ahmar menjejas komunikasi saya?
Terdapat bahagian otak tertentu yang mengawal fungsi pertuturan dan komunikasi kita. Jika bahagian-bahagian otak ini terjejas oleh angin ahmar, ia boleh menjadi sukar untuk:
Memahami apa yang dikatakan oleh orang lain
Bercakap
Membaca
Menulis
Cabaran-cabaran ini boleh menjejas cara anda berkomunikasi dengan orang di sekeliling anda. Sebagai contoh, ia mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk orang lain memahami apa yang anda ingin katakan.
Apakah jenis-jenis masalah berkomunikasi?
Bergantung kepada bahagian otak yang terjejas, anda mungkin mengalami satu atau lebih masalah berkomunikasi. Kesukaran yang biasa dialami termasuk:
Disartria (Dysarthria) Ini merupakan masalah yang paling biasa dialami. Disartria adalah kesukaran pertuturan yang disebabkan oleh kelemahan otot atau masalah koordinasi. Pertuturan anda mungkin menjadi kurang jelas, menyebabkan sukar untuk orang lain memahami anda.
Afasia (Aphasia) Afasia adalah masalah penggunaan Bahasa. Ia boleh menjejas pemahaman dan ungkapan anda, sama ada secara lisan atau dalam bentuk bacaan/tulisan. Ia boleh terjadi dalam bentuk kesukaran untuk mencari perkataan yang tepat untuk diucapkan, membentuk ayat, atau memahami apa yang anda dengar atau baca.
Apraksia Pertuturan (Apraxia of Speech) Apraksia Pertuturan adalah gangguan pertuturanyang menjejas perancangan pergerakan otot-otot yang digunakan untuk pertuturan (contohnya lidah, bibir, rahang). Otot-otot pertuturan mengalami kesukaran untuk bergerak mengikut urutan yang tepat pada masa yang diperlukan, menyebabkan kesukaran untuk bersuara, menyebutkan suku kata dan perkataan dalam pertuturan.
Disfonia (Dysphonia) Disfonia adalah kesukaran untuk menghasilkan suara yang jelas. Individu yang mengalami disfonia mungkin mempunyai suara yang tegang atau serak. Sesetengahnya juga mungkin mengalami kesukaran mengawal kenyaringan dan kelantangan suara mereka.
Bagaimanakah Terapi Pertuturan boleh membantu?
Terapi pertuturan merangkumi pemeriksaan dan rawatan kesukaran berkomunikasi.
Ahli terapi pertuturan akan memeriksa dan bekerjasama dengan anda untuk menyesuaikan rawatan mengikut keperluan dan matlamat anda.
Terapi pertuturan boleh membantu memperbaiki komunikasi dan memudahkan interaksi yang lebih baik dengan:
Melatih semula fungsi pertuturan dan bahasa anda
Mengajar anda strategi berkomunikasi yang tertentu
Melakarkan cara-cara berkomunikasi alternatif seperti memberi isyarat atau menggunakan carta atau alat berkomunikasi
Melatih ahli keluarga atau penjaga untuk menyokong komunikasi anda di rumah
Di manakah saya akan menjalani Terapi Pertuturan?
Sekiranya anda didapati mengalami masalah berkomunikasi oleh pasukan perubatan, anda mungkin dirujuk kepada seorang Ahli Terapi Pertuturan di hospital besar atau hospital masyarakat.
Selepas anda keluar dari hospital, terapi boleh diteruskan di klinik pesakit luar hospital, di dalam masyarakat, atau dengan khidmat terapi di rumah. Anda harus berbincang dengan ahli terapi pertuturan anda untuk menentukan pilihan yang paling sesuai untuk anda.
Apakah peluang saya untuk pulih?
Pemulihan daripada sebarang masalah berkomunikasi adalah sukar untuk diramal dan biasanya mengambil masa beberapa minggu hingga beberapa bulan.
Penyertaan aktif anda penting dalam proses pemulihan. Dengan latihan yang kerap dan sokongan dari keluarga dan rakan-rakan, ahli terapi pertuturan boleh bekerjasama dengan anda untuk melakarkan cara-cara untuk anda memenuhi keperluan komunikasi anda.
Tip-tip pemulihan
Ambil bahagian dalam terapi pertuturan dengan secara aktif
Bawa keluarga atau rakan-rakan anda ke sesi terapi bersama anda supaya mereka juga boleh mempelajari strategi untuk membantu anda berkomunikasi dengan lebih baik
Ambil setiap peluang yang ada untuk berkomunikasi dengan orang lain
Mudahkan pertuturan anda dengan menggunakan kata kunci atau ayat-ayat yang ringkas
Tanya satu soalan dengan cara satu per satu
Dapatkan penjelasan jika anda kurang faham
Gunakan gerak isyarat tangan atau lukisan untuk menyokong komunikasi anda jika perlu
Sertai dan ambil bahagian dalam kumpulan terapi yang terdapat di dalam masyarakat
Buku Komunikasi Bergambar
Buku komunikasi bergambar direka untuk digunakan bersama pesakit angin ahmar atau sesiapa sahaja yang mengalami kesukaran berkomunikasi. Buku ini berfungsi sebagai alat untuk membantu menyampaikan keperluan harian semasa menjalani pemulihan mereka. Tersedia dalam empat bahasa. Pilih bahasa pilihan anda di bawah untuk memuat turun salinan PDF.
Persatuan Angin Ahmar Nasional Singapura (SNSA) menganjurkan kelab angin ahmar sekitar dua bulan sekali.
Kelab angin ahmar adalah sebuah platform untuk bekas pesakit angin ahmar dan penjaga mereka bertemu, menyokong dan belajar daripada penceramah undangan tentang topik-topik yang relevan kepada mereka, seperti disfasia.
Laman web: www.snsasg.org
E-mel: contact@snsa.org.sg
Talian Hotline: +65 8125 1446
Aphasia SG merupakan sebuah pertubuhan bukan untuk meraih keuntungan yang menyokong penghidap afasia dan penjaga mereka.
Aphasia SG menjalankan pelbagai program untuk menyediakan peluang berbual, berinteraksi secara sosial dan menyanyi yang disokong dalam persekitaran yang mesra afasia.
Laman web: www.aphasia.sg
For more information on how to better manage your stroke recovery journey, visit Stroke E-Resources.
Contributed By
An initiative by the Stroke Services Improvement Team in collaboration with all public healthcare institutions.
There are many fun and exciting ways to embark on a healthy lifestyle and reap the benefits of physical activity without having to spend a ton of money. Engaging in at least 150-300 minutes of moderate-intensity aerobic activity weekly can help prevent Type-2 diabetes, heart disease and high blood pressure. Check out these 4 low-cost yet fun ideas that can get you moving!
The Recommended Dietary Allowances (RDA) refer to the recommended daily levels of nutrients to meet the needs of nearly all healthy individuals in a particular age and gender group